ANAdli Nasir
← Kembali ke blog

Nak Jadi Content Creator: Perlu Kamera Mahal atau Cukup Kamera Telefon?

Soalan yang paling kerap saya dengar daripada yang baru nak mula buat kandungan: “Saya kena beli kamera mahal dulu ke?”

Ramai yang tangguh bermula sebab rasa kamera telefon “tak cukup profesional”. Jadi saya nak kongsi satu pengalaman sebenar — ujian yang pasukan kami buat sendiri antara kamera mahal dan kamera telefon. Hasilnya mungkin mengejutkan anda.

Ujian kami: kamera mirrorless vs kamera telefon

Dalam satu projek kandungan, pasukan kami hasilkan video menggunakan dua jenis kamera:

  • Sony A7 IV — kamera mirrorless full-frame, setup sekitar RM12,500
  • iPhone 13 Pro Max — telefon yang memang ada dalam poket

Keputusannya? Video iPhone 13 Pro Max yang menang besar. Ia mencecah jutaan tontonan dan paling banyak menghasilkan jualan (convert).

Video Sony A7 IV pula dirakam mengikut storyline yang klien mahukan. Gambarnya cantik — tapi prestasinya tak setanding. Hanya selepas kami sunting semula dan ubah cara ia bercerita, barulah video tu mula memberi hasil.

Jadi, kamera telefon lebih bagus?

Tak juga. Dan inilah pelajaran paling penting dalam artikel ni.

Video telefon tu menang bukan sebab kameranya — dan video Sony tu pulih bukan sebab kameranya juga. Ia menang sebab tiga perkara yang langsung tiada kaitan dengan harga peralatan:

1. Storyline yang jelas

Video yang berjaya ada jalan cerita yang mudah diikuti — ada masalah, ada perjalanan, ada penyelesaian. Penonton faham kenapa mereka patut terus tonton.

Kamera mahal boleh hasilkan gambar yang cantik, tapi gambar cantik tanpa cerita tetap akan di-scroll.

2. Hook pada 3 saat pertama

Di media sosial, penonton buat keputusan dalam beberapa saat sama ada nak terus tonton atau tidak. Video yang menang dibuka dengan hook yang kuat — soalan, kenyataan mengejutkan atau situasi yang dekat dengan penonton.

Tiada siapa peduli tentang resolusi 4K kalau mereka dah scroll sebelum saat ketiga.

3. Satu CTA sahaja

Ini kesilapan yang sangat biasa. Ramai letak banyak arahan dalam satu video:

“Like, share, comment, follow, klik link, DM saya, save video ni…”

Hakikatnya, tiada siapa suka diarah-arahkan. Bila diberi terlalu banyak arahan, penonton tak buat satu pun.

Video yang menang hanya minta satu perkara — satu “favor” yang spesifik dan mudah. Contohnya: “Komen ‘NAK’ kalau anda nak templatnya.” Satu tindakan, jelas, dan mudah dibuat.

Bila kamera mahal berbaloi?

Saya tak kata kamera mahal tak berguna. Ia memang ada tempatnya:

  • Video korporat dan iklan yang perlukan kualiti sinematik
  • Penggambaran dalam cahaya malap atau situasi yang mencabar
  • Kerja klien yang menetapkan standard visual tertentu

Tapi untuk mula buat kandungan media sosial, kamera telefon dah lebih daripada cukup. Telefon hari ini pun dah boleh rakam video berkualiti tinggi.

Kalau anda baru nak mula: senarai semak ringkas

Sebelum fikir nak beli kamera, pastikan video anda ada:

  • Cahaya yang cukup — menghadap tingkap pun dah memadai
  • Audio yang jelas — ini lebih penting daripada gambar (baca cara saya mula voice over guna earphone percuma)
  • Hook dalam 3 saat pertama
  • Storyline yang mudah: masalah → perjalanan → penyelesaian
  • Satu CTA sahaja

Untuk tips lanjut, baca tips video pendek TikTok & Reels untuk perniagaan.

Tonton sesi live penuh

Saya pernah bincang topik ini dalam sesi live di YouTube:

Soalan lazim

Telefon apa yang sesuai untuk mula buat kandungan?

Telefon yang anda ada sekarang. Bersihkan lensa, rakam dalam resolusi tertinggi yang ada, dan pastikan cahaya mencukupi. Itu dah cukup untuk bermula.

Perlu beli lampu dan mic dulu?

Kalau ada bajet kecil, mic dahulu, kemudian lampu, kamera paling akhir. Penonton lebih cepat tinggalkan video yang audionya teruk berbanding video yang gambarnya kurang tajam.

Bila masa yang sesuai untuk upgrade peralatan?

Bila anda dah konsisten menghasilkan kandungan dan tahu dengan jelas apa had peralatan sekarang. Upgrade untuk selesaikan masalah sebenar — bukan untuk rasa lebih bersedia.

Masa terbaik untuk mula ialah sekarang

Kalau anda masih tunggu kamera yang “cukup bagus”, ingat ujian kami: kamera RM12,500 kalah dengan telefon. Yang menang ialah cerita, hook dan CTA — bukan harga kamera.

Guna apa yang ada di tangan anda. Masa yang paling sesuai untuk mula ialah bila-bila masa anda dah ada alatnya — dan anda dah ada sekarang.

Kalau sekolah atau organisasi anda mahu kelas penghasilan kandungan menggunakan telefon dan AI, hubungi saya.

WhatsAppSemak Tarikh →